Ketinggian darjat seseorang dinilai daripada kualiti akhlaknya bahkan tahap keimanan juga diukur daripada sudut akhlak.Walau sedalam mana pun ilmu agama seseorang, sehebat apa pun ibadahnya ataupun sehebat mana pun pengakuannya mengenai kekuatan iman yang dimiliki, semua ini tidak mampu memberi jaminan.Sebaliknya kayu ukur yang paling sempurna bagi menilai kemuliaan seseorang adalah berdasarkan kualiti akhlak mahmudah. Secara umumnya, kedudukan akhlak adalah menyeluruh. Nilai-nilai akhlak sudah ditanamkan oleh ALLAH ke dalam jiwa manusia sejak mereka lahir lagi.
Walau berada di sudut mana sekalipun, sama ada yang mengenal Islam mahupun yang buta, mereka semua dapat menilai perbuatan dusta, mengingkari janji, fitnah dan pelbagai keburukan lain sebagai perbuatan yang hina dan salah. Pada asasnya, jiwa manusia pasti mengakui semua ini.
Oleh kerana itu, sebelum melangkah ke alam perkahwinan, perbaiki akhlak dan peribadi kita dengan sebaik mungkin. Jangan sampai akhlak yang buruk masih berbaki pada diri kita itu terbawa-bawa hingga ke alam rumah tangga. Tingkatkan keperibadian kita supaya dikasihi ALLAH. Perbaikilah sebaiknya apa yang dapat kita lakukan. Sama ada dalam memperbaik akhlak mahupun perbuatan dan tingkah laku kita. Jagalah pandangan dan bergaullah dengan kaum yang berlawan jenis dengan cara yang disukai ALLAH. Tidak usah berpura-pura dengan penampilan yang dibuat-buat kerana tiada yang luput daripada pandangan ALLAH. Apa yang kita buat walaupun sedetik pasti diperhatikannya. Oleh itu, perkara yang paling penting adalah sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri supaya disukai ALLAH.
Tidak kurang pentingnya juga, kita perlu bersikap matang. Ini kerana bagi membangunkaan rumah tangga tidak cukup hanya berbekallan kemahuan,keinginan dan wang. Rumah tangga adalah lautan masalah. Misalnya, sebelum berkahwin seorang lelaki mungkin berasa calon isterinyalah yang paling cantik di dunia. Tetapi malangnya selepas berkahwin, si suami ini berasakan di dunia ini terdapat ramai wanita yang cantik jelita kecuali isterinya. Godaan nafsu seperti ini perlu diatasi secara matang. Jangan sampai kita tergelincir dan jatuh ke jurang maksiat hanya kerana persoalan yang remeh itu.
Sebenarnya, banyak lagi masalah yang berpotensi menimbulkan sengketa. Misalnya, mertua ataupun adik ipar yang tinggal serumah dengan kita, bahkan anak sendiri yang masih bayi, semuanya berpotensi menjadi masalah apabila kita tidak matang dan bijak menanganinya. Hanya dengan kematangan dan kebijaksanaan semua masalah dapat diatasi. Seseorang yang tidaak matang, tidak bersikap dewasa dan tidak arif hanya menambahkan masalah daripada menyelesaikannya.
No comments:
Post a Comment