Monday, November 1, 2010

5 kemusykilan

Soalan 1

Bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada was-was di dalam sembahyang ?

Jawapan 1

Was-was itu datangnya daripada syaitan, oleh itu janganlah melayani perasaan was-was itu setelah diyakini apa yang dibuat atau dibaca atau diniat itu betul. Keyakinan tidak boleh ditolak oleh sebarang keraguan, teruskan sembahyang itu dengan penuh rasa rendah diri dan mengagungkan Allah sebaik-baiknya memikirkan makna-makna ayat atau doa yang dibaca sepanjang sembahyang itu supaya penumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada sembahyang. Dengan itu diharap dapat mendatangkan khusyuk dan mengelak atau mengurangkan daripada was-was itu.

Soalan 2

Saya berkerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur selalu meninggalkan solat Jumaat kerana hari jumaat hari bekerja suasana kerja tidak membolehkan saya keluar untuk bersembahyang Jumaat, saya selalu menghadapi tekanan jiwa dan merasa bersalah kerana tidak sembahyang Jumaat. Pohon nasihat daripada tuan ?

Jawapan 2

Seberapa daya cubalah berusaha supaya pihak kilang membenarkan pekerja-pekerja Islam keluar untuk sembahyang Jumaat, kalau tidak berjaya mendapat kebenaran tersebut anda mesti berazam untuk mencari pekerjaan lain yang membolehkan anda keluar sembahyang Jumaat. Masalah anda adalah juga masalah sebahagian besar orang Islam yang bekerja di kilang-kilang seluruh negara. Masalah ini boleh di atasi kiranya pihak yang berkuasa menjadikan hari Jumaat sebagai hari kelepasa hujung minggu seperti mana yang berlaku di beberapa negeri.

Soalan 3

Seorang muaalaf (baru memeluk Islam) mati meninggalkan isteri yang belum memeluk Islam dan beberapa orang anak yang juga tidak memeluk Islam. Bagaimana dengan harta peninggalan si mati itu diagihkan mengikut pandangan Islam ?

Jawapan 3

Harta peninggalan si mati tersebut tidak boleh diberi kepada isteri dan anak-anaknya sebagai harta pusaka kerana perbezaan agama satu daripada penghalang seseorang daripada mendapat harta pusaka peninggalan si mati. Walau bagaimana pun maka dalam masalah ini bekas isteri tersebut berhak mendapat harta sepencarian - jika ada- iaitu perolehan bersama dari mula dia berkahwin dengan lelaki itu sehingga tarikh ianya memeluk Islam. Harta si mati ( muallaf itu ) diserahkan ke baitulmal

Soalan 4

Sebahagian masyarakat kita tidak berpakaian ketika mandi di dalam bilik, ada orang memberi fatwa perbuatan itu adalah haram. Apa pandangan tuan ?

Jawapan 4

Mandi di dalam keadaaan bertelanjang di dalam bilik tidak dilihat oleh mana-mana orang adalah harus hukumnya tetapi kalau dituntut bahagian-bahagian tertentu adalah lebih baik. Berkata Imam Nawawi harus membuka aurat ketika perlu ditempat-tempat tersembunyi ketika mandi. Orang-orang perempuan dalam perkara ini sama hukumnya seperti lelaki.

Soalan 5

Adakah harus memakan daging binatang buruan yang mati ditembak dengan menggunakan senapang, kerana di antara syarat yang membolehkan memakannya ialah menggunakan senjata yang tajam sedangkan peluru yang digunakan itu adalah bulat bukannya tajam, pohon penjelasan ?

Jawapan 5

Masalah ini menjadi khilaf di kalangan para ulama. Kekuatan tembakan itu boleh menembusi atau melukakan binatang burun itu sama seperti menggunakan senjata yang tajam bahkan kadang-kadang kesan tembakan melebihi kesan senjata tajam itu. Oleh itu para ulama seperti Said Ibnu Musayyib, Al-Auzai dan yang sealiran dengan mereka menyatakan harus dimakan binatang buruan yang mati kerana ditembak itu. Adapun jumhur ulama tidak harus memakannya berdasarkan kepada syarat bahawa senjata itu mestilah tajam.

Sumber: Portal Jakim:Mufti Negeri-Terengganu

mufti.islam.gov.my

No comments: